Saturday, December 8, 2007

Nostalgia


Hari ini mak tak ada mood nak menulis. Teman setia mak - ayah tiada kerana menemani Yana pergi ke Ipoh menghadiri EduCamp Uni Petronas 8 dis - 11 Dis 2007. Bukan nak memasukki Uni Petronas tetapi sekadar agar Yana mengutip pengalaman menghadiri sesi temuduga untuk persiapan diri di masa masa akan datang. Tak ada mood nak menulis kerana tertangguh lagi nak balik rumah tok Temerloh...jadi mak mengemas rumah dan melihat gambar2 lama along angah dan buat keputusan scan sebahagian dari gambar kegemaran mak sewaktu along dan angah cukup rapat sekali masa itu sebelum bermula "Perang Dunia Ke 4". Tentu along dan angah ingat waktu2 tersebut dan mak harap "peperangan" tersebut akan membuat angah dan along akan menjadi sahabat yang akrab le ni dan akan menjadi lebih bertanggung jawab menjaga Yana, Apik dan Nana nanti bila mak ayah sudah tiada didunia ini. Ingatilah perang demi perang samada di meja makan, depan tv kat luar rumah dsbnya. Dan angah ingat mak kejar angah keliling rumah tapi tak pernah dapat sebab waktu kecil angah cukup pantas berlari . Biar bergaduh masa kecil tetapi bila sudah dewasa semua itu menjadi kenangan manis .

Kenderaan pertama angah . Masa ni angah dalam umur 2 tahun. Ini kat rumah di Taman Sura, Belakang JuJaya Mini Market. JuJaya Mini market dah tiada lagi. Dan le ni kat bawah, angah di motorshow di Jepun he...he...satu hari nanti angah boleh tunggang motor besar ni..tapi tukar lesen dulu ya macam along punya baru boelh bawa yang 200cc keatas. Jadi ke angah nak beli motorsikal suzuki !!!!











Ini motorsikal along yang pertama yang ayah belikan, lebih kurang 2 tahun juga dan besar nanti....mak pun tak tahu along nak beli motor macam mana. Belikan mak mini cooper jadilah nak pakai dah tua2 nanti.











Teka siapa dua orang dibawah ni.

Cucu lelaki tok no: 1 dan no: 2 ................cute kan
Kiri - no 2 dan kanan - No 1


sekarang sudah jadi jejaka paling handsome di kaca mata kedua ibunda jejaka2 ni, yang no:2 katanya sudah berpunya tapi ada 3 kosong lagi he...he...he... (ayahde cakap) yang no:1 rasanya belum lagi berpunya.....masih ingin mengejar cita cita .

Apa-apa pun, carilah pasangan yang boleh bersama waktu senang dan susah, waktu bergembira dan bersedih dan paling penting menghormati kedua ibubapa dan menjaga agamanya dan bagi mak .......carilah yang orang yang sederhana citarasanya supaya mudah menyesuaikan diri dengan mak ayah kerana makayah sederhana dan simple orangnya, takut nanti tidak serasi dengan anak menantu dan keluarganya kerana perkahwinan bukan hanya ikatan dua hati tetapi adalah ikatan dua buah keluarga. Dan anak lelaki mesti ingat , ibu mesti di utamakan daripada isteri dan cari lah pasangan yang boleh menerima hakikat ini jikalau kebahagian yang dicarikan di alam perkahwinan.

Tuesday, December 4, 2007

Risau

Semalam 3 hb Disember 2007, seperti lima bulan yang lepas, mak kesakitan yang amat sangat setiap kali datang haid. Masa zaman muda pun tak pernah sakit macam ni. Mak boleh menangis kesakitan...kalau duduk nak bangun sakit, kalau berdiri lama nak cuba duduk sakit. Mak terpaksa ambil MC minima 2 hari sebab tidak boleh bergerak. Kalau bergerak sakitnya bukan main. Mak rasa lebih sakit dari nak melahirkan anak2 mak. Mak tidaklah risau sangat pada mulanya tetapi selepas bercakap dengan kawan mak. Kawan mak ni pernah menjalani pembuangan rahim kerana dia ada fibroid. Dia tidak pernah berkahwin tetapi doktor pakar yang merawat kawan mak berpesan supaya kalau ada kawan2 yang sakit ketika datang haid diwaktu usia sudah berumur eloklah berjumpa doktor pakar takut fibroid dan yang paling mak takut ialah B****. Mak memang nak jumpa doktor kat hospital tetapi terlupa setiap kali sibuk dengan kerja tapi sekali ini mak mesti pergi.Lagi pun dekat klinik Rakyat boleh buat ujian pap smear. Insyaallah mak akan pergi. Lebih baik tahu apa punca penyakit mak ini daripada biarkan begitu . Mak harap tiada apa-apa dan apa jua keputusaan ujian pap smear mak redha kerana semuanya itu datang daripada ALLAH.

Kerana sakit ini mak tergendala menyiapkan soalan2 peperiksaan Supplementary , tidak dapat pergi ke Klang menjemput Liyana kerana Yana dah tamat mengambil SPM, tidak dapat balik awal dan bercuti di Temerloh. Ayah pula sakit gaut....seperti biasa gaut ayah tidak pernah baik sepenuhnya. Mujurlah ada along kat KL, along setuju nak pergi ambil Yana dan hantar Yana ke Temerloh dan dari Temerloh, ayah jemput balik ke Dungun. Tapi kasihan juga kat Along sebab Along akan balik semula ke KL sebab along cuti sehari saja.

Mak ayah hanya merancang tetapi ALLAH yang menentukannnya. Inilah salah satu sebab kenapa mak nak balik duduk Temerloh...sebab nak balik ke Dungun dari KL jauh sangat. Nanti kalau Yana sambung belajar kat KL . Kasihan kat ayah, mak bukannya berani memandu dari KL - Dungun. Mak hanya temankan ayah memandu, berceloteh dengan ayah je lah. Silap ayah juga tidak pernah nak beri mak bawa kereta melainkan dalam kawasan Dungun je. Mak kena belajar berdikari tetapi selagi ada ayah di sisi mak......ayah tidak mungkin membenarkannya. Takpe lah selagi ada ayah biarlah ayah manjakan mak. Kalau tiada nanti, mak ada tiga hero yang boleh menjadi pengganti ayah.

Ratu Hatiku dan Pujaan ku- Hajjah Halimah Yusoh


MAK

CINTA MAK .............MASIHKU DAMBAKAN
KASIH MAK...................MASIHKU RINDUKAN
BELAIAN MAK...................MASIHKU PERLUKAN
CIUMAN MAK.................MASIHKU INGINKAN

Mak…aka tok buat anak anak ku .Inilah ratu dalam hati mak dan mak percaya juga ratu dalam hati makngah dan makndak. Sudah lama mak ingin rakamkan apa yang mak pendamkan selama ini. Mak ingin ceritakan sedikit perjalanan hidup mak bersama tok sejak dari kecil sehinggalah sudah berusia setengah abad ini. Kalau nak diceritakan semuanya mak rasa lebih hebat dari cerita legenda Arab 1001 malam. Tanpa tok di sisi mak, mak tidak akan sampai ke tahap ini. Begitu banyak pengorbanan tok buat untuk mak dan mak tak mampu membalasnya . Mak hanya berharap apa yang mak telah lakukan selama ini telah membahagiakan tok dan berharap akan terus membahagiakanya selama di izinkan ALLAH. Semuga ALLAH panjangkan umur tok agar mak dapat terus berbakti kepadanya.

Mak masih ingat samar2 waktu itu mak darjah tiga…betul dok Ngah de dah ingat2 lupa….. mak agak bingung apa yang terjadi antara tok ngan tok abah kerana mak terlalu kecil untuk memahaminya. Mak dalam darjah tiga dan bersekolah petang. Selalunya tok akan siapkan bekal untuk pergi sekolah Mudah je bekalan mak ke sekolah…nasi dengan telur dadar atau telor goreng mata lembu cair2 dan bubuh kicap + bawang besar goreng. Tiap-tiap hari pun tak apa , tapi satu hari mak dah siap mandi nak pergi ke sekolah (.ngah dan long sekolah pagi) …. macam berasa ada sesuatu tak kena yang berlaku antara tok ngan tok abah. Mak ketakutan…lalu berlari ke rumah arwah aki Baharum…memohon pertolongan dan mak nampak arwah aki Baharum membawa tok ke rumah mereka…masih tak faham apa yang berlaku. Abah …mak nak kemana…….abah diam je……..( hairan juga mak kenapa tok abah tak pergi mengajar hari itu …abah seorang guru sekolah rendah. ) De nak gi sekolah nak bawa bekal apa bah….mak tak masak pun. Kalau tak bawa bekal tak boleh simpan duit utuk beli buku cerita/komik . Duit belanja hanya 15 sen je, kalau beli mi kari harganya 10 sen , hanya boleh simpan 5 sen. Buku cerita secondhand harga 60 sen jawabnya 2 minggu simpan baru boleh beli satu buku cerita bila van jual buku datang kat sekolah. Singkatnya firkiran mak , mak hanya fikir nak beli buku cerita sedangkan tok sedang menghadap satu masaalah besar. Mak nekad masak nasi sendiri je … bukan guna periuk nasi elektrik tapi masak nasi atas dapur minyak tanah dan goreng telur dadar. Selama ini memang selalu memerhatikan tok memasak kat dapur jadi itulah percubaan pertama mak memasak sebab nak simpan duit dan beli buku cerita. Dan sepanjang tahun itu mak perhatikan dan cuba memahami dugaan besar dan berat yang tok hadapi tapi mak tak tahu nak buat apa-apa untuk tok cuma cuba mendiam dan mengecilkan diri sekecil mungkin agar mak tidak membebankan tok.

Mak rasa mulai dari saat itulah mak mula menulis meluahkan perasaan mak diatas kertas atau melukis apa yang mak rasakan pada hari itu. Dan sampai hari ini mak masih ingat baris ayat yang mak tulis dalam buku daily news mak pada hari tersebut. ( masa mak sekolah dulu wajib tulis apa yang berlaku pada diri kita setiap hari ) “Today is Monday. It is a sunny day. I saw two blackbirds fighting in my house. I feel sad today.” Mak lukis dua ekor burung warna hitam yang bergaduh dengan matahari warna kuning yang besar dan muka orang ada air mata titik titik titik. Warna hitam menggambarkan perasaan mak yang bercelaru dan dua ekor burung itu ialah tok dan tok abah dan mak buat warna hitam sebab marahkan keadaan kerana tak pernah tengok tok abah buat begitu terhadap tok. Matahari besar warna kuning sebab mak rindukan saat tok abah amat menyayangi tok dan muka menangis…hati mak yang menangis. Mak ceritakan maksud gambar itu kepada seorang guru Mr Teoh yang amat ambil berat akan diri mak dan merasakan lukisan mak hari itu cukup berlainan dari biasa sebab mak suka melukis dan lukisan mak mesti warna warni dan ceria dan selalu cikgu tampal kat dinding. Akak tentu masih ingat De melukis sebenarnya itulah escapism De masa itu..,,,lari kedunia lukisan yang De sendiri boleh corakkan sesuka hati De.

Darjah enam peristiwa menyedihkan berulang balik. Tapi kali ini mak dah balik duduk di kampung Lebak. Tok telah “melari dan menyembunyikan” diri di rumah embong Zizah. Ngah dan Long di Tingkatan Tiga dan akak belum sekolah lagi, jadi mak bawa sekali akak. De masih ingat setiap pagi tok akan menahan bas ayah aji Dollah dan menahannya apabila sampai kat rumah embong Zizah dan memberi bekalan sekurang2nya karipap sebab itu agaknya mak cukup suka karipap inti ubi kentang. Tok berpesan belajar rajin2 ya nanti mak balik. Melihat mata tok yang sayu setiap kali bertemu, mulai saat itu mak berazam akan belajar setinggi mungkin. Bila dikenangkan balik mak tidak boleh bayangkan perasaan tok menumpang di rumah orang tanpa anak2 disisi dan memikirkan fasal makan minum anak2. Di mana tok dapat duit pun mak tak tahu…mungkin tok buat kuih2 untuk jualan pun mak tak tahu sehingga sekarang dan tak mahu tanya tok sebab tidak mahu tok ingat lagi kisah2 sedih. Pada tahun tersebut sampai sekarang mak cukup marah dengan Cikgu Rohani Basri guru Bahasa Inggeris Tahun Enam Biru (1970) Sekolah Kebangsaan Inggeris Jalan Bahagia Temerloh yang menceritakan masaalah mak di depan kawan2 mak dan memperkecil2kan mak kerana mak tidak menyiapkan kerja sekolah. Bukan mak tak mahu buat tapi fikiran mak bercelaru masa itu. Cikgu Rohani memang tiada hati perut dan sombong maklumlah guru lepasan Kirby College England dan berkahwin dengan peguam lulusan England juga bernama Encik Bahari kalau tak silap mak.

Ngah …..kakak mak ….diwaktu itu……..…mak tidak mampu menceritakannya. Biarlah ngah yang menceritakannya . Mak cuma mampu memerhatikan ngah sahaja …tidak dapat berbuat apa dan tidak faham kenapa ngah diperlakukan begitu oleh abah sebab abah penyayang , lembut orangnya dan hanya tokabah lah orang yang mak jumpa tidak pandai marah pun. Ngah sesungguhnya sangat cekal dan tabah. Mak ni jenis lembik sikit dan cepat mengalir air mata sampai rakan2 PERASA memberi gelaran ratu air mata. Air mata mak mudah je tumpah apabila berkongsi masalah kehidupan dengan mereka.

Di akhir tahun 1970 , tok abah sudah baik dan waktu banjir besar Januari 1971 ……mak berkeras mahu mengikut tok dan tok abah berjalan kaki dan naik bot ke bandar Temerloh membeli stok makanan dan mak lah orang paling gembira waktu itu kerana melihat tok dan tok abah macam dulu2. Abah kan suka bergurau dengan mak…ingat tak ngah dan akak.

Mac 1976, keputusan SPM diumumkan dan mak antara pelajar Melayu cemerlang di sekolah mak pada masa itu. Tapi waktu itu mana ada pelajar Melayu dapat 10A dsbnya. Bila mak fikirkan semula saat mak mengambil keputusan SPM ..lurus betul le mak. Mak beritahu tok dan tok abah nak ambil result SPM..tok kata pergilah dan balik terus lepas tu. Mak pergi sekolah dan begitu ramai junior mak mengucapkan tahniah, mak hairan juga …mak belum tahu lagi keputusan masa itu. Bila dah tengok baru mak tahu ,mak dapat gred 1. Di seluruh bandar Temerloh dua orang sahaja pelajar Melayu dapat gred 1 , mak dan kawan mak Atikah .Mak punyalah bodoh…dapat keputusan diam aje dan terus pergi kat stesen bas nak balik rumah..takde nak enjoy celebrate ngan kawan2. masa itu tak ada istilah celebrate, tak pandai pun nak celebrate. KFC , Pizza Hut, Mc Donald pun tiada. Jadi balik rumah dan terus ke sekolah Lebak beritahu abah keputusan mak..masa tu tokabah sednag mengajar. Dan lepas itu tidur sebab malamnya tak berapa tidur kerana risau dapat gred berapa. Bila diingat balik sama macam angah. Ingat tak mak hantar angah kat sekolah nak ambil result PMR, masa itu hujan renyai2 mak duduk dalam kereta dan angah pergi bilik gurubesar nak ambil tanskrip. Angah masuk dalam kereta senyap2 je …mak ni berdebar2…..dapat 4a pun mak dah suka hati. Angah tunjuk slip….8A..alhamdulillah. Angah nak gi mana2..tak, angah nak balik…dan kemudian mak tengok angah tertidur depan TV….ngantuk agaknya malam semalam tidak tidur.

Tapi masa nasib mak agak malang, mak tak marah pada siapa- siapa pun. Mak memohon untuk membuat diploma di ITM, UPM dan UTM tetapi jawapannya semuanya gagal sedangkan kawan mak yang dapat pangkat 2 pun boleh masuk . Mak memohon memasuki maktab perguruaan, kursus jururawat, kursus jurupulih pun tidak diterima. Mak dapat tawaran tingkatan enam di Kuantan tapi kawan-kawan sekelas mak semunya pergi ke Raub. Mak ditawarkan tingkatan enam kelas Fizik…dan mak tidak suka Fizik sebab tidak pernah faham pun dan baca pun buat pening kepala. Mak nak masuk kelas Biologi sebab mak suka Biologi dan Kimia..tapi masa zaman mak susah nak tukar aliran. Mak cuba bertahan tapi tidak boleh. Ada banyak faktor yang menyebabkan mak berhenti. Faktor pertama kelas terlalu ramai..ada dalam 55 orang satu kelas, Kedua tidak dapat asrama. Dan ketiga terpaksa duduk rumah arwah Mak Chik Mi ..mak tak selesa sungguh sebab tiada ruang untuk mak membaca . Mak pun nekad berhenti Tingkatan enam. Tidak tahu waktu itu bagaimana perasaan tok dan tokabah. Tapi tok dan tokabah tenang sahaja. Takpe lah abah…nanti De minta masuk ITM bulan Januari 1977 pula.. mak memujuk tokabah.

Bulan Oktober-November 1976, mak mendapat tawaran bekerja sebagai guru sementara di sekolah rendah mak sebagai guru ganti mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris. Mak masih ingat dalam kelas tersebut ada Nona ( anak embong Rahamah dan Mamat anak arwah ayah wa Arshad ) seronok juga mengajar budak-budak sekolah rendah..macam mengajar adik-adik sendiri. Kelas ni sungguh nakal maklum sajalah kelas bawah2 ni tapi pelajarnya cukup kreatif dan baik hati. Dan mak dapat gaji sebanyak RM245 untuk sebulan mengajar. Sukanya bukan main …maklumlah RM5 pun tak pernah pegang. Mak beri dekat tok…tapi tok kata belilah kain dan buat baju untuk pergi belajar kat ITM nanti..mak dah dapat tawaran masuk ke ITM untuk January 1977. Mak beli 5 pasang kain dan buat baju 5 pasang fesyen yang sama. Dan baju2 tersebutlah pakai selama 3 tahun mak belajar di ITM. Mak tidak pernah kisah apa orang kata tentang cara mak pakai.Sampai sekarang pun mak macam itu……….,bila mak selesa dengan fesyen sebgitu malas mak nak berfesyen sebab fungsi baju hanyalah menutup aurat. Sekarang mak selesa dengan berjubah (sejak balik umrah 2001) jadi mak pun tempah baju fesyen sama hanya corak kainnya berbeza dan lagi pun ayah tak kisah mak pakai baju apa. Mak simple orangnya ..dan begitu juga ayah. Mak tidak selesa pakai baju glamor2, bertudung glamor2 lagi lah tak suka.

Semasa mak masuk ITM Shah Alam tahun 1977 , setiap kali balik rumah dan pergi semula ke ITM Shah Alam mesti tok bekalkan sambal tumis ikan bilis. Mak suka makan sambal tumis ikan bilis bubuh dalam mi maggi kari atau makan dengan roti.( Lebihan roti tak habis di dewan makan ..makcik tukang hidang beri kat mak dan kawan2 mak sebab kami minta buat makan malam2 sebelum tidur kalau perut lapar. Nak beli makanan kat luar tiada duit lebih) Mak dengan kawan-kawan mak memang penunjung setia kantin dewan makan Asrama Kenanga. Mak hanya diberi oleh tokabah RM30 sebulan …kalau balik Temerloh bulan tu, jawabnya tinggal RM20 je untuk buat belanja. Itu pun dah 5% dari gaji tok abah, sedangkan masih ada ayah long, ayah tam, makndak sedang bersekolah dan chik kat rumah. Anak-anak abah sekolah Inggeris semuanya masa itu dan yuran pun boleh tahan setiap bulan.Tak silap mak dekat RM10 sebulan x 5 = RM50. 30% dari gaji tokabah.

Kenangan yang tidak dapat mak lupakan di ITM ialah sebuah beg kain kanvas ada epal merah besar dan sebuah radio ketika di tahun akhir pemberian makngah....kakak yang banyak berjasa pada mak. Perwatakan makngah mirip tok dan lately ni mak rasa suara pun seakan suara tok. De ingin menulis satu entry untuk ngah - ratu kedua dalam hidup mak. Sudah ada dalam fail cuma ingin memastikan ayat disusun indah kerana makngah begitu istimewa buat mak dan hidup mak. Terima kasih ngah kerana menjadi kakak yang begitu baik buat De. Mudahan kita bertiga : ngah, de dan akak dan pasangan masing2 akan panjang umur serta sihat dan bersama-sama meniti hari tua dihiburkan oleh kerenah anak2 , menantu2 dan kenakalaan cucu2 dan kita kenduri tiap2 hari pun tak apa. Makde sanggup jadi tukang masak dengan syarat ramai pembantu tukang masaklah.

Baju-baju pakaian harian dan baju sekolah tok yang jahit. Mak bangga pakai baju yang dijahit oleh tok. Bila mak dalam tingkatan 1 atau 2 , mak bantu tok jahit sebab mak dah pandai jahit dah. Masa mak masuk ITM mak dah jahit sendiri baju tidur. Mak masih ingat tok beli kain reja dua pasang…warna merah dan coklat berbunga-bunga ( kain reja ialah kain yang sudah tinggal sedikit ..tak sampai 3 meter dan nak dijual tak cukup untuk buat baju kurung orang dewasa pun, jadi dijual dengan harga murah ) Dan mak pakai baju2 tersebut dari masuk ITM 1977 hinggalah mak bekerja di Kuantan tahun 1980. Baju tersebut terpaksa mak gunting bulu2nya selalu kerana kain murah lah katakan ….cepat berbulu bila dibasuh banyak kali.

Tiap-tiap hari mesti ada sahaja yang tok masakkan untuk buat bekalan pagi ke sekolah. Masa mak di tingkatan lima ( masa itu duit belanja mak dah naik 40 sen, kalau balik petang sebab mak pustakawan tok beri 50 sen. ) ada kawan mak namanya Ismat suka sangat buka beg sekolah mak cari bekalan mak dan pastinya akan dibuka dan dimakan sedikit olehnya. Dia cemburu sebab mak selalu bawa bekal nasi lemak, mee goreng, roti canai dan sebagainya. Dia bawa duit saja RM 2 ...masa itu dua ringgit itu banyak. Mak marahkat dia sebab makan bekalan mak lalu mak cakap nak makan bekalan mak .........bayar la. Dia beri mak RM1 ..dan diambilnya bekalan nasi lemak mak hari itu. Mak ingat dia takkan nak bayar pula. Esok harinya setiap kali mak bawa bekalan mak cakap kat tok nak bawa lebih satu sebab kawan nak beli. Jadi setiap hari dia beri mak RM 1 melainkan hari mak bawa kuih jemput2 je, mak suruh dia bayar 50 sen. Mulai hari itu mak sudah boleh simpan duit lebih dan mak suka sangat sebab boleh beli buku cerita banyak2. Bestkan akak kita bawa bekal tiap2 hari. Itulah istimewanya tok ..tidak pernah mengabaikan makanminum mak ketika mak sedang bersekolah. Balik sekolah sudah terhidang laukpauk dan nasi walaupun tidak semesti lauknya mewah2. Mak paling tak suka tok masak lemak ikan bilis + bawang besar + belimbing buluh tetapi tak pernah merungut .........perut lapar makan sajalah. Dan mak paling suka tok masak kuah durian, goreng kangkung , sambal belacan dan ikan kering. Dan satu lagi ialah masak lemak pedas kulat sisir dan masak daun2 bubuh tempoyak. Makngah tak suka kuah durian dan tempoyak ...pelik kan . Balik Temerloh nanti nak suruh tok masak tempoyak ikan patin. Ayah cukup suka tok masak ikan patin tempoyak.............malah mak rasa ayah hanya makan yang tok masak je. Along, angah, yana, apik dan nana pun suka tok masak tempoyak ikan patin. Kena menurun ilmu dengan tok...........supaya kaum kerabat Bahaman akan tetap dapat makan gulai tempoyak ikan patin seperti tok masak. Dan mak rasa along lah yang banyak mewarisi apa yang mak gemar makan, angah, apik dan nana kurang sikit makan masak lemak. Yana pun tidak berapa suka.

Mak tamat belajar di ITM disember 1979 dan mula bekerja Januari 1980 sebagai Pegawai Kerja Akaun di Perbandanan Memajukan Negeri Pahang dan mendapat gaji M645 sebulan. Tahun tersebut juga makndak berada di Tingkatan 5 di MSRM Kuantan dan mak mengambil alih tanggungjawab tok tokabah. Seronok dapat beri duit belanja kat adik=makndak dan juga belikan buku2 rujukan serta kadangkala makanan. De harap de menjalankanya dengan sempurna akak sebab maklumlah De bekerja dan mungkin kadangkala lupa tanggungjawab sebagai kakak. Cukup bahagia dapat beri duit kat tok setiap bulan dan belanja adik2 – akak, Hanif dan chik dan juga Long masa raya 1980. October 1980 mendapat tahu dapat tawaran pinjaman belajar ke US. Kalau sudah rezeki nakpergi luar negara dapat juga sebab mak memohon nak pergi UK ambil ACCA tapi tak dapat. Takapa lah tak dapat pergi UK, mak nak sambung belajar dalam negara je tapi nak kumpul duit dulu supaya tidak menyusahkan tok dan tok abah bila nak masuk sementara nak memohon biasiswa. Beritahu tok tokabah tawaran belajar ke US. Jangan bimbang De dah ada kumpul duit untuk persiapan nak pergi, mak memberithu tok dan tokabah ..takut kalau tok tokabah tak beri sebab masaalah kewangan. Tok sentiasa tenang dalam apa jua keadaan sekali pun. Tok tidak pernah mempamirkan kebimbangan kesusahan di depan anak anak.

Disember 1980..mak berlepas ke Kalamazoo USA. Hidup di luar negara ni sebenarnya indah khabar dari rupa. Memang seronok belajar diluar negara..membuka minda mengajar mak berdikari tetapi kesunyian ketika berada disana hanya ALLAH sahaja yang tahu. Terutama mak..jurusan perakaunan yang mak ambil , tidak ramai pelajar Melayu yang berani ambil jurusan ini mak pun tak tahu kenapa. Dalam kelas kadang-kadang mak seorang aje pelajar Malaysia. Tiada teman untuk berbual dan berbincang..ikut hati nak balik Malaysia. Tapi apabila mengenangkan tok dan tokabah, mak tabahkan juga pergi ke kelas, Berjanji pada diri sendiri akan tamatkan juga pengajian mak dalam tempoh yang ditetapkan. Dan diwaktu datang kesunyian dan kebuntuan, ayahlah teman setia mak. Penghibur dan pendorong mak agar mak tamatkan pengajian mak.

Tersentuh hati mak satu hari menerima kiriman wang tak silap mak US200 dari tok. Tok dapat duit hasil jualan kerbau bahagian tok dengan arwah Ayah Tam Abu Bakar, lebih kurang RM600. Banyak duit tu, tok dan adik2 lagi memerlukannya. Itulah tok….berkorban tanpa di minta . Mendahulukan anak2 dari kepentingan sendiri. Tak tergamak rasanya mak nak mmbelanjakan duit teresebut waktu itu..tetapi disebabkan biasiswa MARA selalu lambat mak bersyukur dengan kiriman tok, tak payahlah mak ikat perut macam dulu seperti mak ceritakan ..hanya tinggal USD20 untuk 3 minggu.

Tahun 1983, mak berkahwin dengan ayah dan menyambung kembali belajar ke peringkat sarjana. Mungkin tok susah hati juga sebab masa itu ayah mak belum mempunyai pekerjaan tapi demi kebaikan mak disana mak memohon juga untuk berkahwin dan akan menamatkan sarjanan mak secepat mungkin.

Julai 1985 , mak bergelar ibu dan barulah faham kenapa tok berkorban sebegitu rupa dan barulah betul-betul menghargai tok sebagai mak kerana saat-saat melahirkan Along, Angah, Yana, Apik dan Nana hanya ALLAH sahaja yang tahu sakitnya waktu itu dan juga dugaan2 membesarkan ke lima-lima buah hatiku membuat mak melihat tok dari sudut lain. Along bertuah kerana tok bersama menjaga masa berumur 40 hari. Angah pun begitu, tok menemani mak di Hospital Dungun dan Yana, Apik dan Nana tok tetap datang dan bermalam di rumah untuk menjaga dan memandikan cucu cucunya. Terima kasih mak kerana menjaga anak2 De masa kecil dan juga apabila mereka balik ke Temerloh le ni. Betapa besarnya pengorbanan tok terhadap mak…dan betapa kerdilnya mak berbanding tok. Penderitaan dan kesusahan tok membesarkan mak, ayahlong, makngah, makndak, ayahtam dan arwah chik begitu berat tetapi mak tidak pernah nampak tok mengeluh atau marah pada takdir atau sesiapa pun. Segala susah senang tok tetap setia bersama tokabah hingga ke akhir hayat tokabah. Tok memang sabar, tabah dan tawaduk orangnya. Kalau di izinkan ALLAh ingin mak tunaikan segala permintaan tok jikalau tok ada apa permintaan..tapi mak kenal tok, dia tidak akan meminta apa-apa kalau ditanya pun. Mak cukup gembira apabila dapat membawa tok pergi umrah bersama dengan ayah pada tahun 2001. Bersama di Raudah Masjid Nabawi, tawaf dan saie di Masjidil Haram. Kalau boleh ingin rasanya mak pergi sekali lagi ke Madinah dan Makkah bersama dengan Tok, ayahlong dan kedua2 mak long, makngah dan ayahngah, makndak ayahndak dan ayahtam maktam…tentu tok lah orang paling gembira. Jikalau ada rezeki dan di izinkanNYA insyaallah semua ini boleh berlaku.

YA ALLAH

Panjangkanlah umur ibu ku
Berilah dia kesihatan fizikal dan minda
Rahmatilah ibu ku dunia dan akhirat
Kurniakanlah ibuku kebahagiaan dunia dan akhirat

4 Disember 2007